Empat maut, dua masih hilang - Utusan Malaysia

Empat maut, dua masih hilang

KEADAAN Chalet Alang Kenari sebelum dan selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah, semalam. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Tragedi ‘Tsunami Jerai’ yang berpunca daripada fenomena kepala air dan meragut empat nyawa serta dua lagi yang dilaporkan masih hilang adalah kejadian terbesar berlaku pernah di Gunung Jerai, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang kelmarin itu, ratusan pokok hutan tumbang dan dihanyutkan arus deras dari puncak Gunung Jerai yang mempunyai ketinggian 1,217 meter.

Air tersebut mengalir laju melalui beberapa batang sungai di kampung yang terletak di kaki gunung itu seperti Kampung Sungai Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setol.

Kejadian kepala air itu turut memusnahkan harta benda penduduk seperti rumah, chalet, peralatan elektrik, perabot dan kenderaan.

 

KEADAAN Chalet Alang Kenari sebelum  kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah, semalam. 

 

KEADAAN Chalet Alang Kenari selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

 

 

Seorang penduduk, Nasir Mad Rejab, 60, dari Kampung Padang Cina di sini berkata, dia terdengar seperti letupan disusuli deruman air dari Sungai Titi Hayun sebelum dikejutkan dengan limpahan air yang deras bersama pokok hutan dan lumpur.

Katanya, kejadian itu berlaku seperti tsunami apabila paras air di sungai tersebut meningkat sehingga melimpah sedalam kira-kira dua meter di kawasan rumahnya dan beberapa chalet berdekatan milik keluarganya.

“Selepas mendapati paras air yang semakin dalam dan arus deras bersama pokok hutan, saya dan isteri, Latipah Che Man, 54, serta seorang pekerja Chalet, Bakar Hassan, 57, menyelamatkan diri ke tempat tinggi di jalan raya berdekatan.

“Kejadian kepala air selalu berlaku di kawasan ini tetapi kejadian semalam luar biasa dan menakutkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Zaitun Abdullah, 67, dari Kampung Seberang, Pekan Yan di sini pula berkata, dia yang berada dalam rumah bersendirian hampir dihanyutkan arus deras.

Menurutnya, dia terkejut apabila air bercampur lumpur sedalam kira-kira satu meter memasuki rumah selepas air Sungai Titi Hayun melimpah.

“Saya berpegang kepada jerigi di pintu utama rumahnya untuk mengelak dihanyutkan arus deras kira-kira satu jam.

“Sebelum itu, saya sedang memasak di dapur untuk membuat persiapan berbuka puasa dan kebanyakan barangan perabot serta elektrik di dalam rumah rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nasrullah Mujaddidi Md. Zaini, 30, dari Jalan Batu Hampar di sini berkata, dia terkilan tidak sempat menyelamatkan seorang warga emas, Ku Shuib Ku Abdullah, 93, yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu.

“Ketika sampai di rumah mangsa, warga emas yang uzur itu baru dihanyutkan arus deras dan belum dijumpai sehingga petang ini (semalam),” ujarnya.

Tambahnya, dia dan beberapa rakannya hanya sempat menyelamatkan lapan ahli keluarga warga emas itu selepas rumah mereka hampir ranap ditimpa arus deras dan batang pokok yang hanyut.

Empat mangsa yang ditemukan mati setakat petang semalam ialah Ahmad Din, 64, yang maut dalam kejadian di Kampung Setol; Sharuzi Mohamad akibat tanah runtuh di laluan ke puncak Gunung Jerai; Zainol Morad, 66, di Kampung Titi Hayun dan Mohamad Faizal Mohd. Zohir, 28, di Sungai Udang.

Dua mangsa dilaporkan hilang termasuk warga emas yang juga bekas imam di Masjid Yan iaitu Ku Shuib Ku Abdullah, 93.

Setakat ini, lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di Kedah menempatkan seramai 42 orang daripada lapan keluarga. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×