Dua ahli sindiket seludup minyak ke Thailand ditahan - Utusan Malaysia

Dua ahli sindiket seludup minyak ke Thailand ditahan

KPDNHEP mematahkan sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi ke Thailand dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Pasir Mas, Kelantan. -  IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lelaki termasuk seorang pemandu lori yang disyaki ahli sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi ke Thailand ditahan dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan di Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam  Khalil berkata, sepasukan penguatkuasaannya di Kelantan bersama Pasukan Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Pasukan Gerak Am Batalion 8 membuat serbuan susulan risikan daripada Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya ke atas sebuah premis pemborong dan pembungkus minyak masak di Melaka.

Katanya, pihaknya mengenal pasti sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki digunakan sindiket untuk mengangkut minyak masak bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dan didapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan.

“Pemeriksaan menemukan 17,000 kilogram minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) berada di dalam lori dan sejumlahnya telah dipindahkan ke dalam stor yang digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit sebelum sindiket itu menyeludup ke negara jiran.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal di Melaka dan sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lesen daripada syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Nizam berkata, berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak itu sepatutnya dihantar ke salah sebuah pemborong di Melaka namun didapati ia diseleweng dan dibawa masuk ke Kelantan dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik premis dan suspek utama yang terlibat didalam kes berkenaan, manakala sebuah lori yang digunakan mengangkut minyak masak dari Melaka ke Kelantan dan beberapa dokumen berkaitan penjualan minyak masak disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, dua suspek yang dikenal pasti pemandu dan kelindan lori tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

“Selain itu, siasatan juga mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan pengawal dan Peraturan 9 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana pemborong menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal.

“Sekiranya mereka disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN