PUTRAJAYA: Pemberian dos penggalak (booster dose) kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penularan varian Delta mampu dikawal melalui pemberian vaksin kepada mereka yang belum divaksinkan.
“Justeru, kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbang dos penggalak.
“Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau hari ini.
Media melaporkan, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) disaran memulakan perancangan untuk memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas kesihatan awam dan swasta selepas negara berjaya menyelesaikan pemberian vaksinasi kepada populasi dewasa tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh dilaporkan berkata, kumpulan pertama petugas kesihatan yang telah menerima vaksinasi lengkap mencapai tempoh masa enam bulan adalah pada bulan depan.
Beliau berkata, kebimbangan penularan pantas varian baharu di seluruh negara dan di kebanyakan negara lain di dunia boleh merisikokan para petugas kesihatan dan berkemungkinan dijangkiti Covid-19 dengan komplikasi serius sekiranya dos awal tidak lagi berkesan. – UTUSAN ONLINE