BALING: Kecacatan tidak menghalang seorang lelaki, Shahrul Nizam Badrulsham, 28, melakukan kerja-kerja pertukangan besi yang diminati sejak kecil.
Shahrul Nizam yang cacat kudung kaki kiri dan jari tangan mengusahakan bengkel besi bersama bapanya, Badrulsham Baharom, 50, di Kampung Teluk Temelah, Mukim Siong di sini.
Katanya, dia meminati kerjaya tersebut selepas sering mengikut bapanya melakukan kerja-kerja di bengkel membaiki jentera berat di Naka, Kuala Nerang dekat sini, sejak remaja.
Katanya, selain mendapat tunjuk ajar bapanya, dia juga belajar pertukangan besi menerusi YouTube untuk meningkatkan kemahiran.
“Saya bernasib baik kerana bapa banyak membantu saya di bengkel,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, bengkel besinya itu dibuka di belakang rumah bagi memudahkannya bekerja.
“Saya melakukan kerja tersebut untuk mencari pendapatan memandangkan terpaksa membelanjakan kira-kira RM200 sebulan membeli ubat seperti krim bagi mengelak kulit kering dan pedih,” ujarnya.
Tambahnya, dia mengalami kecacatan kekal itu selepas api menyambar 85 peratus tubuhnya ketika membantu bapanya melakukan kerja-kerja kimpalan di sebuah bengkel besi di Naka pada 2010.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia berusia 17 tahun apabila bengkel tempat dia bekerja ketika itu terbakar selepas percikan api daripada kerja-kerja kimpalan terkena tong bekas berisi minyak diesel dan meletup.
“Dalam kejadian itu saya tidak sedarkan diri selepas diselamatkan bapa dalam keadaan api sedang marak di bengkel tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE