Buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari - Utusan Malaysia

Buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari

RAKYAT meletakkan harapan yang tinggi barisan Kabinet baharu yang diumumkan Jumaat lalu mampu membawa perubahan yang diperlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua 31 menteri dan 38 timbalan menteri di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membukti­kan pencapaian awal dalam tem­poh 100 hari pertama.

Justeru, menurut Ismail Sab­ri, beliau akan memastikan Kabinet baharu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dengan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupa­ya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada ke­sengsaraan hidup akibat pandemik ini,” katanya dalam pengumuman barisan Kabinet baharu semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, Kabinet baharu tersebut perlu berorientasikan hasil kerja yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Jelas Perdana Menteri, maka barisan Jemaah Menteri hendak mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat lebih efisien.
“Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua anggota Kabinet pimpinan beliau berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Beliau berkata, Kabinet baharu itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya setelah menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya.

“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik rakyat untuk hidup bersama virus ini dengan semua pihak harus terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

“Kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19,” tambah Ismail Sabri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN