BAGAN DATUK: Nelayan darat yang bergantung hidup daripada hasil tangkapan udang galah di Sungai Dulang di sini, semakin tertekan kerana tidak dapat mencari rezeki disebabkan hasil tangkapan tidak lagi dibeli peraih luar.
Mereka mendakwa, masalah itu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 menyebabkan peraih udang dari luar terutama Lembah Klang tidak dapat merentas negeri untuk membeli hasil tangkapan mereka.
Selain itu, jualan untuk pasaran tempatan di sini juga terjejas disebabkan permintaan daripada pengusaha restoran merosot kerana pelanggan tidak dibenarkan makan di dalam premis atau dine-in sebelum ini.
Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Sungai Dulang, Ahmad Abdul Rahman, 64, berkata, terdapat kira-kira 60 nelayan darat di sini yang menjadikan udang galah sebagai punca pendapatan mereka.
Menurutnya, selain itu ada penduduk yang mengusahakan perniagaan menyewa bot untuk memancing udang galah.
Bagaimanapun, katanya, sejak PKP dilaksanakan, nelayan darat sudah tidak dapat menangkap udang seperti biasa berikutan pasaran yang terjejas teruk.
“Disebabkan PKP, peraih udang terutama dari Lembah Klang tidak dapat datang ke sini untuk membeli udang. Bagaimana nelayan mahu menjual hasil tangkapan mereka?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurutnya, terdapat tiga jeti pendaratan hasil sungai di kawasan berkenaan iaitu di Kampung Tebing Rebak, Sungai Baru dan Sungai Dulang.
“Dahulu jeti-jeti ini menjadi tumpuan peraih udang yang menunggu untuk membeli hasil tangkapan nelayan, namun sejak PKP keadaannya sepi.
“Saya pun tidak pasti apa nasib nelayan di sini jika keadaan ini berlarutan,” katanya.
Peraih udang galah, Abu Salleh Sabdin, 54, pula berkata, sebelum pandemik Covid-19 melanda, ramai pemancing luar datang menyewa bot untuk memancing di sini.
“Kini tiada lagi pemancing luar yang datang dan ini menjejaskan penduduk yang menjalankan perniagaan menyewa bot memancing,” katanya. – UTUSAN ONLINE