GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang belum menerima aduan atau laporan mengenai penjualan sijil digital vaksin palsu di negeri ini setakat ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak terlibat dalam aktiviti pemalsuan sijil digital vaksin.
“Kita tidak menerima laporan mengenai penggunaan sijil vaksin palsu.
“Polis akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana individu terlibat dengan aktiviti tersebut,” kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan individu lengkap vaksinasi diberi kelonggaran dengan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta ‘dine-in’ di restoran bermula Selasa lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fisol berkata, pihaknya mendapati warga Pulau Pinang memberi kerjasama berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19.
“Setakat ini belum ada tangkapan membabitkan mereka yang ingkar SOP ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pemilik premis makanan dan restoran yang menawarkan aktiviti ‘dine-in’ diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memantau keadaan di restoran masing-masing. – UTUSAN