PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah perutusan khas secara hibrid sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, Isnin ini.
Majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, penganjuran majlis bertujuan mengajak masyarakat sama-sama berdoa memohon perlindungan daripada bahaya wabak Covid-19 yang berterusan.
Beliau menerusi kenyataan memaklumkan, majlis bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ itu mengajak masyarakat supaya sentiasa bersabar dan berpegang teguh pada agama walau dalam apa jua keadaan.
Abdul Aziz berkata, Majlis Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan juga diadakan seperti biasa dan akan disempurnakan Perdana Menteri kepada seorang tokoh dalam negara dan seorang tokoh dari luar negara yang berjasa dan memberi sumbangan kepada ummah.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan turut menganjurkan program Semarak Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 1443H/2021M dalam norma baharu bermula pada 9 sehingga 17 Ogos ini.
Menerusi kenyataan berasingan, Jawi berkata, tiga pengisian utama program termasuk Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah pada 9 Ogos, Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah (11 Ogos) dan Forum Ma’al Hijrah sembilan malam berturut-turut akan mengetengahkan tokoh-tokoh berwibawa di dalam perkembangan dan pembangunan syiar Islam di Wilayah Persekutuan.
“Di samping penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah, anugerah lain bakal diumumkan termasuk Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Kategori Frontliner, Kategori Korporat, Kategori Mualaf dan Kategori Pendakwah Kreatif.
“Anugerah Khas Frontliner adalah kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini bagi menghargai jasa dan sumbangan para petugas barisan hadapan di dalam mengharungi tempoh getir pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya.
Katanya, Forum Ma’al Hijrah pula dianjurkan melalui sembilan buah pusat zon masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang akan menampilkan Datuk Dr. Izhar Arif, Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Abdullah Khairi Baharom, Mizz Nina, Imam Muda Asyraf dan Datuk Dr. Norhafizah Musa.
Sambutan Ma’al Hijrah dan Program Semarak Ma’al Hijrah boleh diikuti secara maya melalui Facebook rasmi Jakim dan Jawi.- UTUSAN