ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 16 kes varian membimbangkan (VOC) membabitkan varian Delta dikesan di negeri ini sehingga Khamis lalu yang berlaku penularan pantas dalam kalangan warga pekerja industri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daerah Tangkak menjadi lokasi tertinggi melibatkan varian itu dengan 11 kes diikuti Segamat dua kes.
“Sementara itu, satu kes melibatkan varian delta dikesan masing-masing di Muar, Batu Pahat dan Pontian.
“Bagaimanapun, bilangan VOC yang dilaporkan di negeri ini adalah kecil dan masih terkawal,” katanya ketika menjawab soalan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap) berhubung peningkatan ketara kadar kes Covid-19 di negeri ini
Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Sementara itu, beliau mengakui terdapat peningkatan kes secara mendadak yang dilaporkan berlaku di Johor yang kebiasaannya menyusul berikutan peningkatan kes di negeri lain di negara ini.
“Terkini, penularan kes yang tinggi dicatatkan ketika gelombang ketiga Covid-19 di Johor berkait rapat dengan peningkatan kes di Greater Klang Valley (GKV). Penularan dalam kalangan sektor industri di negeri ini berkait rapat apabila ramai pekerja industri yang bergerak merentasi negeri ke lokasi Zon Merah bagi tujuan mendapatkan vaksinasi.
“Dengan kemasukan kes Covid-19 ke negeri ini, beberapa faktor dalaman mempermudahkan penularan dalam kalangan masyarakat tempatan termasuk penularan di sektor industri yang mana 142 kluster industri dilaporkan masih lagi aktif sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati pekerja industri yang merentasi negeri ke lokasi zon Merah membawa balik virus Covid-19 dan seterusnya menularkan jangkitan kepada rakan sekerja dan rakan serumah yang tinggal di asrama pekerja.
“Penularan kes kluster membabitkan komuniti di Johor pula banyak disebabkan aktiviti ziarah menziarahi semasa musim perayaan atau upacara pengebumian.
“Aktiviti sosial juga masih banyak berlaku walaupun di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menggambarkan sikap masyarakat yang masih mengambil mudah dan alpa terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan menyebabkan rantaian wabak sukar diputuskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE