12 lori tangki air digerak  ke Kuala Terengganu, Kuala Nerus  - Utusan Malaysia

12 lori tangki air digerak  ke Kuala Terengganu, Kuala Nerus 

SEBAHAGIAN lori tangki digerakkan pihak SPAN ke Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pada 5 Ogos 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sebanyak 12 lori tangki daripada enam buah syarikat operator air digerakkan ke Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu susulan gangguan bekalan air di dua daerah itu sejak 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pagi ini sahaja 12 lori tangki digerakkan ke lokasi terjejas.

Enam syarikat operator air terbabit termasuk Air Selangor, Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (RSAJ), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Lembaga Air Perak (LAP) dan Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP).

“Secara keseluruhan, sejumlah 20 lori tangki agihan termasuk dari Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) ditempatkan di lokasi terjejas.

“Selain itu, lebih 40 tangki statik ditempatkan di 25 lokasi strategik demi memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada pengguna,” kata SPAN.

SPAN memberitahu, pemulihan bekalan dijangka mengambil masa kira-kira lima hari kerana melibatkan kerja-kerja pembaikan paip bocor di dasar sungai yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan.

Tempoh masa yang mencukupi diperlukan kerana kerosakan agak serius melibatkan paip besar berdiameter 1,200 milimeter merentangi Sungai Terengganu sejauh kira-kira 500 meter. 

“Pihak kontraktor yang dilantik SATU sedang berusaha sedaya upaya menyiapkan kerja pembaikan rumit dalam tempoh seberapa segera.

“SPAN terus memantau keadaan dari masa ke masa dan amat menghargai kesabaran pengguna terjejas,” kata SPAN.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN