1,000 ahli hadir kelas silat dalam talian - Utusan Malaysia

1,000 ahli hadir kelas silat dalam talian

ANTARA ahli Silat Cekak menyertai Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Hari Tenaga Pengajar secara maya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,000 ahli Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) dari serata dunia menghadiri Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Hari Tenaga Pengajar secara maya, hari ini.

Sambutan tersebut disertakan dengan pelancaran ‘Kelas Silat Dalam Talian’, sesuai dengan situasi norma baharu dalam meneruskan legasi persilatan pusaka Ustaz Hanafi di Malaysia.

Pewaris Mutlak Silat Cekak, Dr. Md Radzi Hanafi berkata, ‘Kelas Silat Dalam Talian’ itu diharapkan menyuntik semangat ahli persatuan meneruskan pembelajaran sekalipun negara masih dilanda pandemik Covid-19.

“Kelas silat dalam talian ini sebaiknya menjadi institusi pembentukan insaniah bertaraf global serta memupuk semangat perpaduan dan nasionalisme tinggi melalui acuan budaya, disesuaikan mengikut keperluan semasa terutama dunia tanpa sempadan pascapandemik Covid-19.

“Pihak persatuan bersedia meneruskan kelas silat di seluruh negara termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah apabila dibenarkan kerajaan kelak, maka tenaga pengajar akan terus optimis mengharungi cabaran norma baharu,” katanya ketika memberikan ucapan semasa majlis sambutan tersebut menerusi aplikasi Zoom.

Sebelum ini, pewaris mutlak silat cekak dengan silibus pelajaran sama pernah memecahkan rekod dunia melalui “Largest Silat Lesson” dalam Guinness World Records pada 29 Ogos 2015 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Sebagai tanda pengiktirafan, tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi diberikan Sijil Pertaulian baharu oleh Guru Utama sebagai tanda pengiktirafan dan pembuktian diberi mandat menyampaikan ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Menerusi acara tersebut, Shahrul Nizam Jantan dianugerahkan Anugerah Khas Guru Utama bagi tahun 1443H kerana memberikan khidmat bakti kepada Silat Cekak Pusaka Hanafi yang mula melibatkan diri sejak tahun 1978. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN