Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Warga emas hilang ditemukan meninggal dunia

MAYAT Zaradah Othman ditemukan penduduk di tebing sungai Lubuk Telor, di pinggir bandar Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Teka-teki kehilangan seorang warga emas yang dipercayai hilang dari rumahnya kelmarin terjawab setelah mayatnya ditemukan penduduk di tebing sungai Lubuk Telor, di pinggir bandar Kuala Lipis pada pukul 5.45 petang hari ini.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, mayat Zaradah Othman, 72, dari Kampung Tanjung Jati, Kuala Lipis ditemukan lebih kurang satu kilometer di tebing sungai berdekatan rumahnya.

“Setelah menerima maklumat penduduk, polis bersama pasukan mencari dan menyelamat ke lokasi mangsa dijumpai kira-kira pukul 6 petang tadi.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azli, mayat warga emas itu disahkan oleh suaminya, Husin Amannadin yang tiba di hospital untuk membuat pengecaman pada pukul 7.15 petang.

Katanya, mangsa dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin dan kemudian anaknya, Aniza Husin membuat laporan di balai polis di sini pada pukul 5 petang semalam selepas usaha mengesan ibunya sejak kelmarin di sekitar kampung gagal.

“Kita melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sejak semalam dan bersambung hari ini dengan bantuan dua ekor anjing pengesan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat Lipis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN