KLANG: Pihak berkuasa digesa bertindak tegas terhadap warga asing yang masih berdegil mematuhi arahan terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika angka jangkitan Covid-19 masih tinggi dengan jumlah kematian terus meningkat.
Selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sikap warga asing yang tinggal di asrama pekerja dekat kawasan-kawasan perumahan turut mengundang rasa tidak senang dalam kalangan warga tempatan, seolah-olah mereka tidak dipantau majikan masing-masing.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun polis melakukan serbuan, pemeriksaan termasuk mengeluarkan kompaun, namun mereka tidak serik mengendahkan amaran pihak berkuasa apabila didakwa berpeleseran dan ‘bersidai’ di luar kawasan rumah dan taman permainan kanak-kanak.
Sejak 2019 hingga Mei lalu, statistik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 14,000 penjenayah warga asing diberkas kerana terlibat dalam pelbagai kes jenayah seperti mencuri, pecah rumah, bunuh serta rogol.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak memberi sebarang kelonggaran terhadap mana-mana kilang atau premis perniagaan ketika ini.
Malah, beliau turut berjanji mengambil tindakan tegas terhadap kilang atau premis yang melanggar SOP yang ditetapkan.
“Kerajaan tidak bertolak ansur dengan kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan.
“Kita akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dalam combat melawan COVID-19 dan mengambil tindakan tegas terhadap kilang dan premis perniagaan yang masih degil,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, semalam.
Di kawasan perumahan sepanjang Jalan Teratai, Meru, Klang, masyarakat tempatan bimbang terhadap sikap warga asing yang tinggal di asrama berhampiran apabila tidak menghiraukan penguatkuasaan PKPD.
Seorang penduduk, Mohd. Hazlan Ab. Halim, 45, mendakwa, warga asing yang tinggal di kawasan sepanjang Jalan Teratai itu dilihat sering memikirkan ‘kepala sendiri’ terutama dalam keadaan pandemik yang melanda sekarang.
“Mereka pernah mencetuskan kluster wabak Covid-19 tahun lepas dan apa yang dilakukan sejak awal pelaksanaan PKPD pada 3 Julai lalu seperti tiada apa-apa. Memang tak terkawal apabila keluar ‘berselerak’ macam itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Peniaga buah-buahan, Banu Jeganathan, 46, kesal terhadap sikap pekerja asing yang menyebabkan dia dan suami tidak dapat berniaga dan dinasihatkan berpindah ke tempat lain.
“Awak bayangkan dekat mana kami hendak pindah. Sudah lebih 10 tahun berniaga di sini tiba-tiba akibat sikap warga asing yang tak endah arahan PKPD sehingga pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pun menasihatkan supaya jangan berniaga di sini sebab berisiko,” luahnya.
Seorang peniaga warung di Jalan Seri Kenangan yang enggan dikenali memberitahu, kebanyakan penduduk di situ menerima persepsi buruk masyarakat luar akibat sikap warga asing.
“Selepas wujud Kluster Teratai, penduduk dekat sini mengeluh terutama peniaga kerana pelanggan luar takut hendak datang ke sini menyebabkan perniagaan mereka merosot sehingga sekarang,” ujarnya.
Tinjauan Sabtu lalu mendapati kawasan seperti jalan dan tempat tumpuan utama termasuk kedai di lorong belakang asrama sunyi selepas serbuan polis Jumaat lepas.
Bagaimanapun, masih ada yang berkumpul di taman permainan kanak-kanak, malah berhampirannya juga terdapat peniaga buah yang tidak menghiraukan risiko berniaga di sana.
Namun, ketika polis melakukan rondaan, mereka terus beredar, sementara peniaga pula terus berkemas selepas diarah beredar dari kawasan terbabit.
Sementara itu, pelaksanaan PKP menyaksikan warga asing antara kelompok yang terjejas, sekali gus boleh membawa kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.
Sejak 2019 hingga Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas 14,000 warga asing yang terlibat jenayah seperti mencuri, pecah rumah, bunuh serta rogol.
Daripada jumlah itu, seramai 3,959 orang melibatkan jenayah kekerasan manakala 10,041 ditahan bagi kesalahan harta benda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, bagaimanapun terdapat penurunan ketara bagi semua kesalahan tersebut pada tempoh pelaksanaan PKP berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN










