PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan membimbangkan kes jangkitan varian Delta Covid-19 apabila sebanyak 18 kes dikesan dalam tempoh seminggu dengan empat daripadanya melibatkan kes kematian.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu antara 25 kes jangkitan varian membimbangkan (VOC) melalui survelan genomik dijalankan dari 23 Jun hingga semalam oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang melaksanakan jujukan genom penuh ke atas 28 sampel Covid-19.

Menurut beliau, jumlah kes varian Delta itu menunjukkan peningkatan membimbangkan berbanding kes VOC lain iaitu lima kes varian Beta, dua kes varian Alpha selain tiga kes varian berkepentingan (VOI) Kappa.
Kata Dr. Adham, pada masa ini data dari United Kingdom (UK) menunjukkan varian Delta mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding Alpha iaitu 60 peratus dan boleh menjangkiti lebih ramai orang.
Ini dibuktikan dalam tempoh seminggu sebelumnya iaitu dari 11 hingga 22 Jun, kes VOC hanya merekodkan sembilan kes varian Delta.
Beliau berkata, daripada kes kematian jangkitan varian Delta dalam tempoh terbaharu ini, tiga kematian adalah melibatkan kes kematian di rumah (BID) yang dikesan di Labuan manakala satu kes kematian membabitkan warga asing di Kuala Lumpur.
“Sebanyak satu kes jangkitan melibatkan petugas kesihatan di Negeri Sembilan dan masing-masing tiga kes dikesan daripada kluster komuniti di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur dan Kluster Pedas, Negeri Sembilan.
“Selain itu masing-masing dua kes di Melaka, Kluster Ocean Blue, Sabah dan Kluster Dah Bukit Makmur, Kedah dan satu kes dari Kluster Rantau Kenanga, Pahang,” katanya di sini semalam.
Dr. Adham memberitahu, bagi kes varian Beta, ia melibatkan masing-masing satu kes melibatkan petugas kesihatan di Terengganu serta petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kluster Delima Raya dan Kluster Jaya Gading, Pahang.
Beliau memberitahu, bagi kes jangkitan varian Alpha pula melibatkan dua kes kontak di Sabah manakala tiga kes jangkitan varian Kappa membabitkan petugas kapal laut, Johor.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 jangkitan VOC setakat ini sebanyak 136 kes varian Beta, 40 kes varian Delta dan 10 kes varian Alpha, manakala jumlah VOI yang dikesan ialah dua kes varian Eta dan empat kes varian Kappa,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, data dari Public Health England yang diterbitkan pada 22 Mei lalu menunjukkan dua vaksin yang digunakan di UK iaitu Pfizer dan AstraZeneca masih mampu memberi perlindungan terhadap jangkitan varian Delta walaupun terdapat sedikit pengurangan dalam keberkesanannya.
“Dua dos vaksin Pfizer mampu memberi perlindungan sebanyak 88 peratus apabila dijangkiti dengan varian Delta berbanding dengan perlindungan sebanyak 93 peratus sekiranya dijangkiti dengan varian Alpha,” katanya. – UTUSAN







