PETALING JAYA: Suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga atau dos penggalak belum perlu diberikan buat masa ini kerana fokus utama wajar diberikan kepada mereka yang belum mendapatkan dos pertama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan dari Universiti Malaya (UM), Dr. Victor Hoe Abdullah berkata, hal ini kerana virus Covid-19 boleh bermutasi dari semasa ke semasa dan dikhuatiri jika varian yang lebih teruk daripada Delta muncul.
‘“Sekiranya varian yang lebih teruk muncul, kita tidak mampu bergerak keluar daripada masalah pandemik ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beberapa negara di seluruh dunia ketika ini mula memberikan suntikan dos ketiga kepada rakyat sebagai langkah meningkatkan sistem imunisasi golongan berisiko berikutan penularan varian delta.
Antara negara yang mula memberikan dos ketiga vaksin adalah Turki dan Rusia manakala Jerman akan menyusul September ini.
Victor Hoe berkata, vaksin sedia ada kini terbukti dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap mereka yang sudah mendapat vaksinasi lengkap.
Sehubungan itu, kata beliau, Malaysia perlu memastikan lebih ramai rakyat mendapat vaksin dan bukan memberi fokus untuk suntikan dos ketiga.
Sementara itu, pakar virologi, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang belum mendapatkan dos pertama dan kedua kerana virus Covid-19 terutama varian Delta boleh membiak dengan cepat di dalam lubang hidung, mulut serta mata.
“Jangkitan varian Delta pada lubang hidung, mata dan mulut boleh terkena pada sesiapa sahaja tidak kira sudah mendapat vaksin atau belum, namun ia membahayakan nyawa mereka yang belum mendapat vaksin.
“Vaksin hanya melindungi apabila jangkitan telah masuk ke dalam badan, ia tidak berkesan apabila jangkitan berada pada mata, lubang hidung atau mulut melainkan apabila menelan air liur.
“Oleh sebab itu, mereka yang belum menerima vaksin tidak mempunyai perlindungan di dalam badan sekiranya mereka menelan air liur yang sudah dijangkiti virus tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










