PETALING JAYA: Usaha pemulihan ekonomi memerlukan sokongan pelbagai pihak, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Beliau berkata, selain jentera kerajaan dan sektor-sektor asas, pelbagai lapisan masyarakat harus bersepakat dalam usaha ini.
Katanya, tidak kurang juga para ilmuan yang boleh memainkan peranan penting berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Perumusan polisi yang baik memerlukan pengamatan yang dapat mengimbangi kemaslahatan nyawa dan ekonomiagar impak jangka masa panjang turut dapat diatasi dengan lebih baik,” katanya berucap dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-15 yang diadakan secara maya.
Muzakarah itu bertemakan `Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik: Impak, Cabaran dan Hala Tuju.’
Menurut Ahmad Zaylani, krisis yang berlaku telah memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serantau.
Katanya, pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan oleh pihak berautoriti bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu dan perniagaan.
“Dalam menyokong usaha ini, institusi kewangan dan ilmuan syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran dihadapi oleh pelanggan,” katanya.
Ahmad Zaylani telah menggariskan tiga aspek penglibatan ilmuan syariah yang relevan dalam proses pemulihan ekonomi.
Aspek berkenaan ialah pertama, penglibatan ilmuan syariah dalam perumusan langkah pemulihan ekonomi; kedua, penyesuaian ke arah norma baharu dan ketiga, pemerkasaan kolaborasi dalam meningkatkan sinergi dan keberhasilan ke arah penjanaan semula ekonomi.
Ahmad Zaylani berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan (uncertainty) akibat penularan wabak Covid-19, penggubalan polisi yang tangkas (agile), anjal (flexible) dan inklusif amat diperlukan.
Katanya, Polisi yang mantap disertai dengan langkah pelaksanaan yang cekap akan dapat membantu ekonomi ke arah pemulihan, di samping memberi perhatian khusus kepada kumpulan rentan.
“Dalam hal ini, panduan hukum syariah dalam menghadapi situasi krisis menurut perspektif hajah dan darurah adalah penting demi mengimbangi kemaslahatan ekonomi dan industri kewangan, serta kemaslahatan individu. Kejelasan hukum ini dapat memandu perumusan polisi yang sesuai dengan kehendak maqasid syariah,” katanya.
Mengulas aspek penyesuaian ke arah norma baharu, beliau berkata, peranan penasihat syariah adalah penting terutamanya dalam penerapan budaya pematuhan syariah yang baik dan memperjelas keperluan syariah, seperti pengoperasian transaksi kewangan digital yang bebas daripada unsur larangan syarak.
“Situasi seperti ini turut menuntut para ilmuan syariah melihat kepada pendekatan yang praktikal, relevan, dan adil dalam menyantuni keperluan dan permasalahan semasa. Justeru itu, aplikasi fiqh al-waqi` (iaitu hukum fiqh yang berdasarkan realiti) adalah penting bagi memperkukuh fatwa yang diputuskan dalam pembangunan dasar yang bersesuaian,” jelasnya.
Berkenaan pemerkasaan kolaborasi, beliau berkata, dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, strategi yang terencana secara sistematik dan menyeluruh mampu meringankan beban golongan terjejas, serta meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan masyarakat ke tahap lebih baik demi mencapai maqasid syariah.
“Kita berhadapan dengan suasana industri kewangan yang begitu dinamik dan mencabar. Strategi penawaran kewangan Islam juga seharusnya lebih kreatif dan bersesuaian, tanpa mengabaikan prinsip pematuhan syariah yang asas.
“Kita perlu sentiasa peka dan sedia untuk beradaptasi dan berinovasi untuk kekal memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi dan masyarakat,” kata beliau. – UTUSAN










