TMJ mahu lebih banyak PPV, pegawai perubatan di Johor - Utusan Malaysia

TMJ mahu lebih banyak PPV, pegawai perubatan di Johor

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (depan, tengah) melihat bekalan vaksin Pfizer yang akan dihantar ke PPV di negeri ini ketika melawat PPV di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan supaya bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah meliputi seluruh daerah di negeri ini dalam usaha mempercepat proses pemberian vaksin kepada rakyat Johor.

Baginda turut bertitah agar bilangan pegawai perubatan patut ditambah di seluruh negeri Johor. 

Langkah itu, titah baginda, agar program vaksinasi di semua daerah di negeri ini diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin. 

“Saya telah melawat PPV di Hospital Permai, Johor Bahru hari ini untuk memeriksa proses pengedaran vaksin Covid-19 ke PPV di Johor. 

“Saya telah menitahkan agar program vaksinasi di semua daerah di Johor diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin. 

“Pada masa yang sama, saya telah menasihati agar proses logistik pengedaran vaksin ke PPV dipercepatkan supaya bekalan vaksin di PPV sentiasa mencukupi,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi miliknya, ‘HRH Crown Prince of Johor’ hari ini.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut sempat menyaksikan penerimaan bekalan vaksin Pfizer yang akan diedarkan ke PPV di negeri ini dalam masa terdekat. 

Tunku Mahkota Johor bertitah, baginda telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohd. Noh Ibrahim bagi membincangkan perkara itu.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa sebanyak 83 peratus Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin. 

“Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin. Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula,” titahnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN