TH menang Anugerah Kecemerlangan Teknologi - Utusan Malaysia

TH menang Anugerah Kecemerlangan Teknologi

KETUA Pegawai Teknologi TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal (dari kiri) diikuti Amrin Awaluddin; Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof; Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad dan Pengurus Besar, Digitalisasi Perniagaan TH, Mohamed Ameen S.M.A Abdul bergambar bersama trofi anugerah yang diterima TH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memenangi Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 (Malaysian Technology Excellence Award) dalam kategori Perkhidmatan Dalam Talian – Perkhidmatan Kewangan buat julung-julung kalinya bagi platform THiJARI yang dianugerahkan Singapore Business Review.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan kepada Tabung Haji dan merupakan manifestasi sokongan pendeposit atas usaha menambah baik perkhidmatan dalam talian dengan pengenalan THiJARI demi kemudahan mereka.

Jelas beliau, penganugerahan tersebut seiring perkembangan digital masa kini serta menjadi platform utama membantu mendepani cabaran Covid-19.

Katanya, platform itu membuktikan komitmen TH menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan dan haji yang inovatif serta memudahkan orang awam dan pendeposit supaya mereka dapat mengakses perkhidmatan TH pada bila-bila masa.

“Platform THiJARI direka dengan susun atur yang kemas, navigasi yang mesra pengguna malah dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

THiJARI merupakan platform yang memiliki fungsi-fungsi utama, termasuk kemudahan pembukaan akaun secara maya (VAO), butiran akaun, pindahan dana dari bank ke TH melalui FPX, pendaftaran hibah amanah dan pindahan simpanan dari akaun TH ke akaun TH yang lain, keahlian Kelab TaHa dan pelbagai perkhidmatan seperti pendaftaran, tawaran, rayuan dan jadual penerbangan haji.

Amrin berkata, TH komited menambah baik perkhidmatan yang diberikan dengan platform THiJARI yang terbukti menjadi pilihan terbaik dan paling mudah bagi pendeposit melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH pada setiap hari.

Menurutnya, walaupun baru setahun selepas dilancarkan, pengguna THiJARI Web mencecah hampir 830,000 dan 430,000 pengguna THiJARI App dengan 50,000 transaksi direkodkan setiap hari.

Pengguna boleh melayari platform THiJARI menerusi laman web (www.thijari.com.my) atau dimuat turun menerusi aplikasi iOS dan Android.

“TH dengan berbesar hatinya berharap agar penganugerahan tersebut menjadi perangsang untuk TH melakukan transformasi digital dalam perkhidmatan sekali gus meluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa dan menyejahterakan alam sekitar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN