LUMUT: Sebahagian daripada kawasan tapak bekas Padang Terbang Sitiawan di sini yang ditumbuhi lalang terbakar petang tadi.
Kebakaran itu mengakibatkan kepulan asap yang banyak di udara dan boleh dilihat sehingga lebih satu kilometer.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pasukan itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.49 petang memaklumkan ada kebakaran di kawasan seluas enam hektar itu.
“Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dibantu Pasukan Bomba Sukarela Ayer Tawar, Pantai Remis dan Pekan Gurney bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota menggunakan empat aliran paip bomba sepanjang kira-kira 120 meter menggunakan air dari tangki jentera dan pili bomba untuk memadamkan kebakaran itu.
Jelasnya, operasi itu yang diketuai oleh Pegawai Bomba Mohd Zaki Zainol berjaya mengawal dan memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada pukul 4.49 petang.
Ujarnya, punca sebenar kebakaran itu masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan fcuaca panas dan keadaan padang kering antara faktor api merebak dengan cepat. – UTUSAN ONLINE










