SOP Covid-19 masih berkuat kuasa  - Utusan Malaysia

SOP Covid-19 masih berkuat kuasa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) mengenai pergerakan dan larangan penganjuran apa-apa aktiviti sosial masih berkuat kuasa di negeri-negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dan Fasa 2.

Justeru itu, masyarakat diminta untuk terus mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha melandaikan  jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagi mencapai matlamat itu, usaha dan kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan PPN.

Kata beliau, sepanjang tempoh itu, tiada sebarang pergerakan rentas negeri dan daerah dibolehkan kecuali bagi tujuan yang dibenarkan.

“Dua orang wakil isi rumah dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman.

“Selain itu, kebenaran maksimum tiga orang saja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 km dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan. 

Mengulas lanjut, kata Acryl Sani, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau khidmad pesanan ringkas (SMS).

“Apa-apa aktiviti sosial yang boleh menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, jelas Acryl Sani, PDRM kekal komited dan akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP demi keselamatan kesihatan masyarakat.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya