Sidang Parlimen: Pembangkang bagai kera dapat bunga  - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen: Pembangkang bagai kera dapat bunga 

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wajah sebenar pembangkang yang boleh diibaratkan  bagai kera mendapat bunga terserlah dalam sesi  sidang khas Parlimen yang bermula hari ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, adalah lebih baik sidang khas Parlimen digunakan untuk mendengar pembentangan kerajaan dan memberi cadangan demi kebaikan rakyat. 

Menurut beliau, sekarang bukan masa untuk bersaing antara ahli parlimen sebaliknya masing-masing perlu menggunakan sesi ini dengan sebaik-baiknya demi rakyat.

“Belum sampai satu jam Parlimen bersidang, perangai sebenar pembangkang  terserlah. Kita jangan lupa, dulu semasa PH (Pakatan Harapan) pegang kerajaan, mereka potong atau hapuskan banyak bantuan. Bila rakyat minta, mereka kata kerajaan tak ada duit.

“Ingat lagi RM30 kerajaan PH  bagi? Masa kerajaan banyak duit, dia bagi RM30. Masa kewangan kerajaan terhad sekarang ni, agaknya berapa yang dia nak bagi? RM30 lagi?

“Lebih buruk, apabila kerajaan sekarang nak bentangkan dalam Parlimen rancangan penuh untuk bantu rakyat, mereka cuba sedaya upaya untuk ganggu,” katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kerajaan sudah membuka  pintu untuk pembangkang menyumbang dan bersetuju melantik pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara. 

“Malahan peruntukan bantu rakyat pun kerajaan dah bagi kepada pembangkang. Kalau semua ini disambut dengan baik dan PH tunjuk kesediaan bekerjasama dengan kerajaan, manfaatnya untuk rakyat juga nanti,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN