PETALING JAYA: Pemberian vaksin Covid-19 kepada kira-kira 400,000 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seperti dirancang kerajaan perlu disegerakan.
Ini berikutan wujud kebimbangan ibu bapa berhubung keadaan anak-anak mereka yang tertekan ekoran kesuntukan masa untuk membuat persiapan dan mengikuti pembelajaran berkualiti secara bersemuka bagi menghadapi peperiksaan penting berkenaan.
Sehingga sekarang, tiada perkembangan mengenai tarikh janji temu bagi program vaksinasi membabitkan pelajar.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan kerajaan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dijangka diterima calon-calon peperiksaan berkenaan pada pertengahan bulan ini bagi dos pertama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pemberian vaksin untuk semua pelajar yang menduduki peperiksaan perlu disegerakan tanpa mengira sama ada negeri berkenaan pada Fasa Satu atau Dua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, dengan pemberian vaksin itu, ia dapat memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka bagi golongan berkenaan diadakan serentak di seluruh negara tanpa mengira status negeri berkenaan.
“Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dipatuhi. Tambahan pula ia hanya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan sahaja.
“Justeru, beri suntikan untuk pelajar yang mengambil peperiksaan terlebih dahulu. Kita tidak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran. Walaupun ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sesi secara bersemuka lebih mudah difahami dan kurang kekangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata, pemberian vaksin kepada calon-calon peperiksaan SPM dan STPM mampu memberi perlindungan bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi kepada guru yang akan terlibat nanti.
Menurutnya, pemberian vaksin itu juga disifatkan sebagai jalan keluar bagi mempercepatkan proses PdP secara bersemuka bukan sahaja kepada pelajar yang mengambil peperiksaan tetapi membabitkan pelajar lain.
“Jika proses imunisasi menjadi semakin lambat, ia sebenarnya merencatkan impak positif kepada sistem pendidikan. Jadi, sekiranya semua divaksinkan mereka boleh mulakan sesi persekolahan secara berperingkat,” jelasnya.
Peperiksaan SPM 2021 bagi ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022 manakala bagi ujian bertulis pula pada Mac 2022.
Bagi peperiksaan STPM 2021, peperiksaan bertulis dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 24 Mac 2022.
Sementara itu, sesi PdPR bermula pada hujung tahun lalu di seluruh negara bagi memastikan murid mengikuti pembelajaran secara optimum. – UTUSAN










