PETALING JAYA: Seorang lelaki kerugian RM10,000 selepas diugut disebar videonya sedang melakukan onani oleh ‘kenalan’ wanitanya.
Mangsa berusia 23 tahun dipercayai berkenalan dengan wanita warga asing melalui aplikasi Tantan dan berkongsi ID aplikasi LINE kira-kira 12.45 tengah malam, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, semasa berbual dengan suspek di dalam aplikasi itu, dia diperkenal dengan rakan suspek yang lain dan diminta memuat turun satu aplikasi dengan memasukkan kod jemputan.
“Selepas memuat turun aplikasi itu, mangsa dapati telefon bimbitnya tidak berfungsi.
“Kemudian, pada pukul 1.30 tengah hari Rabu lalu, mangsa menerima video dirinya sedang beronani yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi LINE,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anuar berkata, mangsa percaya video ini diperoleh oleh suspek daripada memori telefon bimbitnya.
Ujar beliau, mangsa diugut supaya memasukkan wang ke dalam akuan bank tempatan atas nama seorang lelaki, sekiranya tidak mahu videonya yang sedang beronani tersebar.
“Dia yang ketakutan melakukan empat transaksi bank dengan memindahkan wang berjumlah RM10,000 ke akaun yang diberikan.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada malam Rabu lalu,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan modus operandi penjenayah melakukan pemerasan wang di era teknologi maklumat dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit.
“Sebanyak 20 kes membabitkan jenayah pemerasan sebar gambar dan video lucah bagi tahun 2021 dilaporkan oleh mangsa.
“Oleh yang demikian, segala maklumat peribadi hendaklah disimpan dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak kerana kes penipuan boleh berlaku di mana-mana,” katanya.- UTUSAN ONLINE










