Polis buru individu lompat pagar, lari dari kawasan PKPD - Utusan Malaysia

Polis buru individu lompat pagar, lari dari kawasan PKPD

LOKASI kejadian yang mana beberapa individu berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar yang tidak dipasang kawat duri dan keluar dari kawasan Perumahan Sungai Isap yang dikenakan PKPD di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​KUANTAN: Polis sedang mengenal pasti identiti beberapa individu melarikan diri daripada sebuah kawasan perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Julai sehingga 31 Julai ini, dekat sini semalam.

Kejadian itu tular apabila terdapat rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan satu keluarga yang meloloskan diri dengan melompat pagar tidak dipasang kawat duri di Perumahan ​Sungai Isap di sini.

Ketua Polis Daerah​ Kuantan​, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihak polis akan membuka kertas siasatan dan menjalankan proses tersebut secepat mungkin.

Menurutnya, mereka yang keluar tanpa kebenaran itu akan dijejaki untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan mereka yang degil dan tidak bertanggungjawab ini berkemungkinan boleh menyebabkan merebaknya wabak ini keluar dari kawasan PKPD ke kawasan lain.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu enggan mematuhi apa-apa perintah pegawai diberi kuasa di bawah seksyen 15 (arahan pegawai diberi kuasa untuk Person Under Surveillance (PUS) menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dalam tempoh yang difikirkan patut) dan boleh dikompaun RM3,000,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan di kawasan PKPD Sungai Isap di sini hari ini.

Rakaman video kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.27 petang, semalam. Sebaik sahaja berjaya menyusup keluar, mereka dilihat menaiki sebuah kereta ​yang menunggu di luar kawasan berkenaan.

​Dalam pada itu, Mohammad Noor berkata, polis juga akan mengesan perakam yang merakam kejadian tersebut bagi tujuan membantu siasatan.

“Dengan itu, satu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia akan diteruskan.

“Orang ramai ​yang mempunyai maklumat berhubung video yang tular​ itu boleh melaporkan kepada pihak polis​,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, susulan daripada kejadian itu anggota bertugas telah diarahkan membuat kawalan dan rondaan berterusan untuk memastikan tiada pergerakan yang menyalahi undang-undang bagi kesemua 13 lokaliti yang dikenakan PKPD.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya