PETALING JAYA: Pesakit bukan Covid-19 di tiga negeri – Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dipindahkan ke hospital swasta bagi memberi laluan kepada pesakit wabak itu dirawat di hospital-hospital kerajaan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, perkara itu dirintis menerusi kerjasama pintar Kementerian Kesihatan dengan 38 buah hospital swasta dengan proses pemindahan pesakit dimulakan kelmarin dan masih berterusan.
Menurut beliau, 38 buah hospital swasta tersebut dijangka boleh menampung kira-kira 800 pesakit manakala kos rawatan ditanggung kerajaan.
“Proses pemindahan sedang dilakukan secara berperingkat bermula 20 Julai melibatkan pesakit sedang menjalani rawatan di wad-wad kerajaan. Namun ia bergantung kepada keputusan pegawai perubatan kerajaan yang sedang merawat setiap pesakit.
“Ini bermakna selepas doktor merawat memberikan kebenaran, baharulah pesakit itu boleh dipindahkan ke hospital swasta,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, menurut beliau, strategi tersebut tidak bermakna orang ramai boleh terus ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dengan beranggapan kos ditanggung kerajaan.
Kata beliau, prosedurnya semua pesakit perlu terlebih dahulu berjumpa doktor di hospital kerajaan untuk dinilai sama ada pesakit berkenaan perlu dipindah ke fasiliti swasta atau sebaliknya.
“Pegawai perubatan kerajaan yang akan memberikan kata putus sama ada seseorang pesakit itu perlu untuk ke hospital swasta atau tidak,” katanya.
Dr Kuljit memberitahu, langkah drastik itu sekali gus memberikan ruang kepada hospital kerajaan memfokuskan terhadap rawatan Covid-19 khususnya kepada individu yang berada pada tahap empat dan lima kerana hanya hospital-hospital kerajaan mempunyai kepakaran dan kemudahan dalam merawat virus berkenaan.
Kata beliau, pihaknya menyambut baik usaha tersebut khususnya dalam membantu negara menangani pandemik.
“Kami pihak hospital swasta amat gembira untuk membantu dan pada masa ini sudah ramai pesakit yang dipindahkan sejak semalam dan proses ini berjalan lancar.
“Matlamat kami adalah untuk membantu kerajaan menyediakan lebih banyak ruang untuk pesakit Covid-19 di kemudahan mereka,” katanya.
Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan beberapa langkah untuk menambah baik keadaan hospital di Lembah Klang yang kini menjadi tempat penularan tertinggi wabak Covid-19.
Ia termasuklah mengerahkan 6,5000 kakitangan kesihatan dari negeri lain, membeli lebih banyak bekalan dan bekerjasama dengan hospital swasta untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah. – UTUSAN











