Pentadbiran kerajaan lancar di sebalik kemelut politik - Utusan Malaysia

Pentadbiran kerajaan lancar di sebalik kemelut politik

Kenderaan yang dipercayai membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kawasan kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, petang semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik pertikaian berkaitan Proklamasi Darurat antara kerajaan dan pihak istana, suasana dalam negara masih aman dengan pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa.

Tinjauan mendapati, tiada aktiviti luar biasa di Istana Negara selain beberapa petugas keselamatan menjaga kawasan tersebut.

Di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur suasananya agak berbeza apabila beberapa buah kenderaan dipercaya dinaiki kenamaan dan menteri muncul di rumah Perdana Menteri sejak pagi hingga sebelah petang.

Kira-kira pukul 4 petang kenderaan dipercayai membawa Perdana Menteri dilihat meninggalkan kediamannya sebelum kembali semula kira-kira sejam kemudian.

Isu Proklamasi Darurat terus menjadi pertikaian apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Selasa lalu mengumumkan di Parlimen bahawa ia ditamatkan sejak 21 Julai.

Bagaimanapun, kelmarin Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan penamatan Proklamasi Darurat yang tidak mendapat perkenan baginda.

Susulan tu, ramai pihak termasuk pemimpin pembangkang mempertikaikan kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga ada yang mendesak Perdana Menteri berundur.

Malah warganet juga menggunakan akaun media sosial masing-masing bagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan.

Namun di sebalik pertikaian, Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetap menyatakan sokongan kepada kerajaan PN. Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendirian parti sudah dizahirkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Beliau berkata, BN dan UMNO, sudah membuat pendirian berkenaan dan pengumuman mengenainya telah dibuat Ismail Sabri kelmarin.
Semalam, Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan mengumumkan 110 Ahli Parlimen masih bersama menyokong kerajaan sedia ada.
Sementara itu ,seorang pemerhati politik yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. P. Sivamurugan berpendapat, Akuan Bersumpah (SD) pada Mac 2020 masih terpakai sebagai bukti sokongan terhadap pihak kerajaan untuk terus mentadbir negara.

Beliau berkata, kedudukan kerusi di Parlimen cukup memberikan gambaran bilangan kerusi dimiliki kerajaan, malah setakat ini tidak ada pihak yang membuat usul untuk menyatakan bahawa mereka mempunyai majoriti di dewan.

Kata beliau, maka semua pihak harus melihat secara rasional bahawa sesiapa sahaja boleh menyatakan pihak kerajaan tidak mempunyai majoriti, tetapi ia belum diperincikan sehingga ke hari ini.

“Maka tidak wujud keperluan bagi kerajaan dan Perdana Menteri untuk menunjukkan bilangan sokongan yang mereka ada.

“Akaun bersumpah Mac 2020 masih diguna pakai, melainkan adanya penarikan (sokongan) dilakukan (di pihak kerajaan).

“Namun penarikan itu tidak hanya boleh dilakukan pada sidang media, tetapi perlu melalui proses sama ada menunjukkan telah melakukan SD baharu atau diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya