Pekerja bukan khidmat perlu tak boleh keluar kawasan PKPD - Utusan Malaysia

Pekerja bukan khidmat perlu tak boleh keluar kawasan PKPD

Seorang anggota tentera memerhatikan pasangan warga Myanmar yang sedang mendukung anak mereka yang demam di pintu masuk Pangsapuri Mentari Court yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 14 Julai 2021. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekerja selain dalam perkhidmatan asas tidak boleh keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja  dalam tempoh tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menerusi kenyataan memberikan peringatan tersebut susulan pengumuman pelaksanaan PKPD hampir di seluruh Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai.

“Majikan  dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah,” kata beliau.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja bahawa mereka diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

Petugas kesihatan lengkap mengenakan sut pelindung diri (PPE) bergerak ke rumah penduduk untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di Pangsapuri Mentari Court yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam hingga 14 Julai 2021. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI

Saravanan berkata, sekiranya pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada kementerian menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Selain kategori aduan dipaksa bekerja semasa tempoh itu, aplikasi itu juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan.

Beliau berkata, sebanyak 1,878 aduan direkodkan melalui aplikasi WFW (work from home)  dalam tempoh 23 Mei hingga semalam berhubung aduan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Antara negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan bekerja dari rumah ialah Selangor dengan 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tempoh 1 Jun hingga 1 Julai, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN