Operasi Lonjakan Kapasiti percepat imuniti kelompok di Selangor - Utusan Malaysia

Operasi Lonjakan Kapasiti percepat imuniti kelompok di Selangor

Pas tidak pernah ajak Bersatu bincang mengenai mengembalikan semula Muafakat Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) Selangor menyifatkan Operasi Lonjakan Kapasiti akan mempercepat sasaran kadar vaksinasi ke arah imuniti kelompok di Selangor.

Pengerusi Bersama Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, ini berikutan peningkatan drastik kes-kes baru Covid-19 di negeri ini dan menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor gagal dalam menguruskannya dengan berkesan.

Namun, katanya, program yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu adalah langkah segera yang terbaik yang diyakini dapat mengurangkan kes pandemik seterusnya melindungi dan menyelamatkan rakyat di negeri ini.

“MN Selangor menyokong supaya kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama penuh dalam semangat federalisme untuk mencapai sasaran operasi ini dan mengenepikan perbezaan politik demi kebajikan rakyat.

“Lantas MN Selangor menyeru agar kerajaan negeri menyediakan pasarana dan sebanyak mungkin kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan tiada lagi vaksin yang tidak terguna akibat kekurangan PPV sebagaimana sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

MN Selangor juga menyeru supaya kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri agar dapat saling bantu-membantu dan bekerjasama dengan koordinasi yang lebih baik demi manfaat rakyat di negeri tersebut.

Pada masa sama, MN Selangor menyeru rakyat Selangor yang masih belum menerima vaksin mereka agar segera tampil ke hadapan bagi menjayakan operasi tersebut.

“Sesungguhnya keputusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam membenarkan warga emas yang belum memperolehi temujanji  untuk menerima vaksin secara “walk ini” dimana-mana PPV di Selangor mulai hari ini adalah sangat positif dan dialu-alukan.

“Semoga melalui usaha ini baki 1.3 juta rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masih belum menerima vaksin akan menerima suntikan mereka sebagaimana disasarkan. Diharapkan juga melalui langkah proaktif ini negeri Selangor akan mencapai imuniti kelompok pada waktu terdekat dan rakyat dapat kembali hidup seperti sedia kala,” katanya.

Inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti diumumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin semalam.

Melalui program ini, kerajaan persekutuan akan memastikan setiap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin menjelang 1 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN