JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa menteri-menteri UMNO yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera memohon maaf kepada ahli parti dan rakyat negara ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu dibuat susulan kerajaan PN terbongkar menipu dalam Dewan Rakyat dan menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu pembatalan Ordinan Darurat, Isnin lalu.
“Mereka ini dikira bersubahat menipu rakyat dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong apabila mereka tidak menafikan atau berdiam diri sahaja apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan sudah membatalkan darurat pada 21 Julai lalu.
“Mereka sudah mengangkat sumpah memegang amanah dan menjunjung Perlembagaan ketika dilantik menjadi menteri serta Ahli Parlimen tapi mereka sanggup mengkhianatinya demi kuasa.
“Oleh itu mereka perlu minta maaf secara terbuka kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat serta insaf dengan keterlanjuran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai berkata, menteri dan ahli Parlimen UMNO juga perlu menarik balik serta-merta sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini.
Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin sudah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat dan mempermain-mainkan Perlembagaan serta kemuliaan Dewan Rakyat.
“Mereka (menteri UMNO) perlu ikut keputusan MT UMNO dan tarik segera sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN. Mereka sepatutnya malu kerana terus memberikan sokongan kepada sebuah kerajaan yang tidak telus dan tak amanah.
“Tidak pernah dalam sejarah UMNO menderhaka kepada raja-raja Melayu terutamanya Seri Paduka dan menyeleweng Perlembagaan serta Parlimen untuk kekalkan kuasa,” katanya.
Katanya, biarpun majoriti MT UMNO sudah menarik sokongan daripada Perdana Menteri, namun kedegilan menteri-menteri dan segelintir ahli Parlimen UMNO yang mahu terus bersama kerajaan PN turut mencemarkan nama baik parti.
“Sudah-sudahlah nak jadi degil dan nak ikut nafsu sendiri. Kembalilah ke pangkuan perjuangan asal dan bersama semula dengan kepimpinan UMNO. Tinggalkan Muhyiddin, Pas dan PN yang sudah terbukti gagal, menyeleweng kuasa dan menderhaka kepada institusi raja,” katanya.