Najib saran doktor kontrak diberi `bonus besar’   - Utusan Malaysia

Najib saran doktor kontrak diberi `bonus besar’  

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang  menawarkan `bonus besar’ kepada doktor kontrak sekiranya tidak mampu mengambil mereka sebagai pegawai perubatan tetap.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh membisu dalam menangani isu doktor kontrak yang perlu diselesaikan secepat mungkin dan tidak menambah kemarahan mereka.

“Sekiranya kerajaan tidak mampu mengambil keseluruhan doktor kontrak sebagai kakitangan tetap, sekurang-kurangnya tawarlah bonus yang besar pada akhir kontrak.

“Jangan kedekut kepada doktor dan ketika negara masih berdepan krisis kesihatan. Ini bukan masa untuk kamu (kerajaan) buang masa runding-runding,” katanya dalam Facebook hari ini.

Dalam pada itu, menurut beliau, tanda-tanda   sesebuah kerajaan itu gagal  apabila kerajaan tidak lagi mampu memberikan rawatan dan perhatian kesihatan sewajarnya kepada rakyat.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, menafikan dan tidak memperbaiki keadaan kritikal ini adalah satu jenayah dan dosa besar di dunia dan akhirat.

“Justeru, langkah pertama menyelesaikan masalah ialah untuk mengaku kita ada masalah dan bukan menafi.

“Jangan pandang sahaja apabila rakyat kita sakit dan menafikan keadaan sudah menjadi paling kritikal. Sebab kita sudah cecah paras 133,000 kes Covid aktif dan nombor ini sedang meningkat 5,000 ke 7,000 setiap hari sejak sebulan lalu,” ujar Najib.

Najib menambah, sudah tiba masa kerajaan meminta bantuan petugas perubatan dari negara lain bagi tempoh sementara terutamanya yang sudah pulih daripada Covid-19.

Katanya, kerajaan juga wajar untuk mengambil balik pesara petugas kesihatan untuk berkhidmat semula buat sementara waktu.

“Tingkatkan juga perkhidmatan ambulans termasuk memasang alat-alat bantuan pernafasan kepada kereta van kerajaan untuk dijadikan ambulans sementara sekiranya ambulans baharu lambat sampai.

“Saya difahamkan bahawa kekurangan staf perubatan telah menjadi penghalang terbesar bagi usaha meningkatkan kapasiti rawatan hospital kerajaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya