Mewujudkan kestabilan kewangan yang kukuh - Utusan Malaysia

Mewujudkan kestabilan kewangan yang kukuh

MALAYSIA berbesar hati telah mempengerusikan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) selama dua tahun dan akan digantikan oleh Kanada. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESTABILAN kewangan (financial stability) yang kukuh, adalah satu aspek penting bagi sesebuah negara kerana ia prasyarat bagi mewujudkan suasana ekonomi yang rancak dan pertumbuhan negara yang mampan.

Peranan dan tanggungjawab bagi memastikan kestabilan kewangan di Malaysia adalah antara mandat utama yang dipikul oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam memastikan segala aktiviti pengurusan risiko berkaitan dengan kestabilan kewangan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tuntas, keseluruhan rangkaian sistem kewangan  perlu sentiasa dipantau secara bersepadu oleh BNM.

Jika terdapat institusi yang terletak di luar bidang kuasa BNM, tetapi mempunyai risiko menyebabkan ketidakstabilan kewangan, terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang membolehkan ia diisytiharkan sebagai ‘institusi kewangan yang ditetapkan’ (prescribed institution) dan diletakkan di bawah kawal selia BNM.

Sebagai contoh, daripada 17 buah institusi kewangan pembangunan (IKP) yang ada di Malaysia, enam daripadanya iaitu Bank Rakyat, Agrobank, Bank Simpanan Nasional, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan EXIM Bank adalah ‘institusi kewangan yang ditetapkan’ berdasarkan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Apabila sesebuah institusi telah ditetapkan, BNM akan mempunyai peranan dan tanggung jawab untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti institusi berkenaan.

Aktiviti penting seperti pengambilan deposit, pengumpulan dana, pencapaian kewangan, pelantikan ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan serta keputusan pelaburan, antara lain,  akan dipantau oleh BNM. Ini bagi memastikan segala mandat institusi tersebut dilaksanakan dengan tepat, berhemah dan disokong dengan sistem tadbir urus korporat yang kukuh  dan telus.

Namun, setiap IKP berkaitan akan terus bertanggungjawab untuk mengurus dan menetapkan arah tuju perniagaan sendiri. Ini kerana, setiap IKP mempunyai mandat dan model perniagaan yang berbeza dan perlu memenuhi kehendak pemegang taruh yang berlainan.

Pengawalseliaan ke atas IKP ini tidak bermakna BNM akan menguruskannya secara langsung atau mengambil alih kuasa dan kawalan pemegang taruh ke atasnya. IKP ini juga tidak disyaratkan untuk menjadi ahli Perbadanan Deposit Insurans Malaysia (PIDM).

Bagi industri kewangan Islam pula, terdapat peruntukan perundangan yang hampir sama di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA).

Di bawah seksyen 223 IFSA, sesebuah institusi yang menjalankan aktiviti kewangan Islam boleh diisytiharkan sebagai ‘institusi kewangan Islam yang ditetapkan’ dan akan tertakluk kepada rangka kerja kawal selia BNM, jika aktiviti institusi tersebut berkemungkinan mencetuskan risiko ketidakstabilan sistem kewangan.

Menurut IFSA, dalam ‘menetapkan’ sesuatu institusi, perkara asas yang akan diambil kira adalah bentuk aktiviti perantaraan kewangan yang dilaksanakan, saiz perniagaan, hubungan dengan institusi-institusi kewangan yang di bawah kawal selia BNM serta kedudukan dan kepentingan institusi tersebut di dalam rangkaian sistem kewangan negara.

Walau bagaimanapun, seperti mana IKP yang ditetapkan, peruntukan serta rangka kerja kawal selia BNM tertentu sahaja yang akan diguna pakai ke atas institusi kewangan Islam yang ditetapkan ini. Selain itu, status institusi yang ditetapkan ini tidak bersifat berkekalan, kerana IFSA membolehkan pindaan atau pembatalan dibuat.

Apa yang penting, tujuan utama diadakan peruntukan undang-undang sebegini adalah bagi membolehkan langkah-langkah proaktif diambil  untuk mengelakkan berlakunya risiko ketidakstabilan kewangan, yang jika berlaku akan secara langsung memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi negara dan kehidupan masyarakat. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN