Di kala dunia berhadapan pandemik, industri seni dan budaya antara yang paling teruk terjejas. Namun, itu tidak mematahkan semangat sesebuah agensi untuk terus memartabatkan khazanah negara.
Mengambil inisiatif untuk melestari seni budaya Dondang Sayang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan pertandingan secara maya bagi menyebarkan mesej ini.
Mendapat kerjasama lebih 20 agensi utama di peringkat negeri dan persekutuan, program ini diharap dapat menyemarakkan jiwa Dondang Sayang dan menghidupkan semula aktiviti seni yang suram dua tahun ini.
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Md Yusop berkata, melestarikan seni budaya ketika situasi pandemik serta dalam masa sama menyampaikan mesej berkaitan bahaya rasuah, suatu hasil seni yang menarik.

“Program ini boleh dilihat sebagai salah satu usaha bagi memupuk nilai murni dan pembudayaan integriti di dalam bait-bait pantun dondang sayang itu untuk menjadi intipati serta cabaran utama dalam program ini.
“JKKN Melaka dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengambil inisiatif ini untuk memulakan satu bentuk pertandingan secara maya bagi menyebarkan mesej terbaik berkenaan.
“Antara agensi yang terlibat adalah Institut Warisan Malaysia, Melaka (INSWA), Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka (Tourism Melaka), Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Melaka, Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Melaka (RTM MELAKA fm), Dewan Bahasa dan Pustaka (Wilayah Selatan), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Jabatan Penerangan Negeri Melaka,” katanya.
PERTANDINGAN SECARA MAYA
Bercakap soal program tersebut, Mesran berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu Kanak-Kanak (7 hingga 14 tahun), Remaja (15 hingga 25 tahun) dan dewasa (26 hingga 40 tahun).
“Memandangkan kita masih berada dalam pandemi, pertandingan itu berlangsung sepenuhnya secara dalam talian. Malah, mereka juga berpeluang mengikuti taklimat beserta bengkel yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.
“Bengkel dan taklimat akan dikendalikan oleh urus setia serta panel juri terbabit yang terdiri daripada Tokoh Warisan Orang Hidup (dondang sayang) juga tenaga pengajar daripada beberapa institusi pengajian termasuk JKKN Melaka dan SPRM pada 12 Julai ini,” ujarnya.

Tambah Mesran, selepas itu peserta terpilih juga akan dibekalkan dengan bahan-bahan taklimat dan bengkel seperti muzik ‘minus one’ serta jadual program serta diberikan masa sehingga 30 Julai ini untuk menyerahkan rakaman video persembahan mereka kepada urus setia untuk dinilai dan disaring oleh pihak juri.
“Bagi peringkat saringan, juri akan memilih enam peserta terbaik bagi tiga kategori terbabit. Malah, istimewanya cabaran bagi kategori Remaja dan Dewasa di peringkat separuh akhir akan menyaksikan kehebatan peserta berbalas pantun secara spontan menerusi lirik Dondang Sayang itu secara langsung di Zoom,” katanya.
“Pertandingan akhir pula dijangka akan dianjurkan sama ada secara fizikal atau hibrid mengikut situasi semasa pada 25 September depan. Peserta yang berjaya menang akan menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil penghargaan.
“JKKN dan SPRM berharap mesej anti rasuah berkenaan dapat disebar secara meluas melalui aktiviti kebudayaan supaya penggiat dan peminat seni dapat menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan menolak aktiviti rasuah itu,” katanya.










