KLANG: Cubaan sebuah syarikat industri makanan membawa masuk 1,349 kotak belut sejuk beku dan 951 kotak ikan timah bernilai RM146,486.87 gagal selepas dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor di Pelabuhan Barat di sini baru-baru ini.
Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, kesemua barang seberat 27,955 kilogram tersebut dirampas hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan mendapati syarikat tersebut gagal mengemukakan dokumen import yang sah dari negara Iran pada pukul 4 petang.
“Barangan sejuk beku itu dibawa masuk dari Iran dan telah berada di pelabuhan tersebut sejak 18 Jun lalu.
“Kesemua barang itu kita percaya dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Sehubungan itu, MAQIS menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara. – UTUSAN










