Mantapkan iman, jangan bunuh diri - Utusan Malaysia

Mantapkan iman, jangan bunuh diri

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor menyeru umat Islam di negeri ini tidak melakukan bunuh diri walaupun hidup sengsara ketika pandemik Covid-19 kerana perbuatan itu dosa besar selain dilarang syarak.

Sultan Sharafuddin Idris Shah  bertitah, Islam melarang hambanya membunuh diri dan tindakan berkenaan juga dianggap mengkhianati amanah ALLAH.

Titah baginda, penularan Covid-19 adalah ujian  ALLAH  sehingga mencetuskan tekanan dan mendorong keinginan sesetengah pihak membunuh diri akibat berputus-asa.

“Individu muslim perlu memantapkan keimanan agar perbuatan bunuh diri tidak menjadi satu penyelesaian masalah kehidupan apabila berputus asa,” titah Sultan Selangor menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negeri ini untuk memahami dan menghayati kandungan Khutbah Jumaat bertajuk, Tuntutan Memelihara Nyawa yang dibacakan oleh khatib di setiap masjid seluruh negeri ini.

Titah baginda, isi kandungan khutbah pada minggu ini  perlu diketengahkan sebagai pedoman dan pengajaran susulan peningkatan kes bunuh diri sejak kebelakangan ini.

“Kita perlu berasa takut dengan ancaman terhadap tindakan bunuh diri seperti yang ditegaskan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang mengatakan tindakan bunuh diri adalah perbuatan terkutuk dan dilarang ALLAH,” titahnya.

Berikutan itu, Sultan Selangor bertitah agar semua pihak memberi sokongan kepada masyarakat yang hidup tertekan bagi menggelakkan mereka mengambil tindakan di luar kawalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN