PETALING JAYA: Seorang lelaki yang hadir bagi mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menarik perhatian petugas apabila memastikan dirinya ‘dilindungi’ dengan menutup keseluruhan bahagian kepalanya dengan plastik.
Memetik catatan dari Facebook USM penampilan lelaki yang kategori warga emas itu kelihatan agak pelik.
Dia tiba dengan menaiki teksi dan penampilannya itu mencuri tumpuan orang ramai yang berada di PPV itu termasuk ada yang berbisik-bisik di samping ada yang ketawa sinis.

Tanpa mempedulikan pandangan sinis itu, lelaki tersebut terus ke kaunter untuk mendapatkan suntikan.
Setelah selesai mendapatkan suntikan dan sebelum meninggalkan PPV itu, dia berjalan ke tempat sekretariat dan berkata: “Petugas barisan hadapan telah bekerja keras. Tolong belikan mereka makanan tengah hari.”

Serentak itu dia menyerahkan sejumlah wang sebelum berlalu dan menaiki teksi sama yang menghantarnya.
Gelagat lelaki yang pelik tetapi pemurah itu sempat dirakamkan oleh jurugambar USM, Baim Manan.
Petugas kesihatan profesional di PPV itu telah menasihatinya supaya membuka plastik itu dan menggantikannya dengan pelindung plastik yang diberikan.










