BALIK PULAU: Lebih 20 penderma terdiri daripada individu dan berkumpulan menyumbang stok barangan keperluan termasuk susu dan lampin bayi di ‘food bank’ atau bank makanan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh, Teluk Kumbar di sini.
Sumbangan tersebut susulan laporan Utusan Online berhubung kisah penerima yang menangis meminta bantuan hanya secupak beras di bank makanan untuk diberikan kepada anak-anak yang masih kecil.
Bank makanan anjuran sekumpulan enam sukarelawan wanita termasuk barisan MPKK Bukit Gemuroh itu dimulakan 14 Jun lalu selepas menyedari ada dalam kalangan penduduk setempat berdepan masalah kewangan sehingga terputus bekalan makanan.
Setiausaha MPKK Bukit Gemuroh, Rosmawati Hashim, 44, berkata, pihaknya sehingga kini tidak putus-putus menerima sumbangan daripada mereka yang tinggal di daerah ini malah ada yang menghantar dari Terengganu dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, selain menerima panggilan telefon, pihaknya sering dihubungi menerusi laman sosial Facebook setiap hari sejak laporan berita mengenai kisah penerima bantuan disiarkan akhbar ini.
“Ramai penderma yang murah hati dan mereka tidak henti-henti menghubungi kami. Boleh dikatakan setiap hari mesti ada yang datang menghantar makanan keperluan asas seperti beras, minyak, sardin, gula, biskut, susu bayi sehinggalah lampin pakai buang.
“Sumbangan yang diberikan dikumpul dan diagihkan kepada lebih 10 individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19 termasuk yang diberhentikan kerja serta tiada pendapatan tetap seperti peniaga dan ibu tunggal,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penderma yang hanya mahu dikenali sebagai Norma Zaini, 58, berkata, sumbangan barangan makanan berupa biskut yang disumbangnya itu disifatkan sebagai sedekah kepada golongan yang memerlukan dan terkesan dengan pandemik.
“Rezeki yang diperoleh harus dikongsi bersama-sama. Niat saya membantu golongan yang terjejas teruk akhirnya termabkul biarpun saya sendiri seorang suri rumah tangga,” ujarnya.
Pada 1 Julai lalu, Utusan Online melaporkan pasangan muda berusia 20 hingga 30-an menjadi antara golongan paling terkesan ekoran pandemik Covid-19 dan memerlukan bantuan terutama barangan keperluan makanan di food bank berkenaan. – UTUSAN ONLINE