PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam terus menurun buat hari kedua berturut-turut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cuma 531 individu dicekup semalam berbanding 556 individu ditahan kelmarin dan 635 individu diberkas Selasa lalu.
Daripada jumlah tersebut jelasnya, seramai 499 dikompaun, manakala 32 lagi direman hasil pemantauan yang membabitkan 83,031 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi semalam ialah gagal penjarakan fizikal sebanyak 114 kes, diikuti rentas kawasan dan makan/minum di premis dengan 109 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ini disusuli tidak memakai pelitup muka (69), gagal merekod butiran di premis (66), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (44), membawa penumpang berlebihan (38) dan lain-lain (91). – UTUSAN ONLINE










