PETALING JAYA: Jangkitan Covid-19 yang melonjak hingga mencecah lebih 13,000 kes kelmarin hanya bersifat sementara, malah dijangka menurun tidak lama lagi.
Pakar-pakar kesihatan awam berpendapat peningkatannya dipengaruhi langkah kerajaan mengadakan saringan besar-besaran terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.
Malah, Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim dalam Selangor tidak disambung lagi, dan tamat mulai semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, lonjakan kes ketika ini bersifat sementara berikutan adanya ujian calitan yang dilakukan secara massa.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia menjelaskan, berikutan tindakan itu ramai pesakit Covid-19 dan pembawa virus dapat dikenal pasti lebih awal.
“Kita juga tahu kadar vaksinasi dalam negara sedang dipertingkatkan dan sehingga hari ini, jumlah vaksin yang dikeluarkan melebihi 400,000 dos termasuk 155,351 individu yang telah melengkapkan dos kedua,” katanya.
Malah, Kementerian Wilayah Persekutuan turut menjangkakan kes Covid-19 di wilayah itu menyusut minggu depan hingga akhir bulan ini berikutan keadaan terkawal dan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan aliran penurunan sehingga semalam dengan 1,552 kes direkodkan berbanding 1,598 kes Rabu lalu.
Katanya, kementerian akan terus memperhebatkan program vaksinasi secara besar-besaran agar Wilayah Persekutuan dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.
Sementara itu, jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian terus mencatatkan peningkatan dengan 460,158 dos suntikan menjadikan ia jumlah tertinggi setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin Covid-19 di Twitter, beliau memaklumkan daripada jumlah itu, 304,807 individu menerima dos pertama dan 155,351 lagi melengkapkan dos kedua.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sejak 24 Februari adalah sebanyak 13,107,716 dos.
Seorang lagi pakar kesihatan, Profesor Dr. Noran Naqiah Mohd. Hairi berkata, orang ramai tidak seharusnya bersikap sambil lewa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah divaksin.
“Selepas mengambil vaksin, orang ramai masih perlu pastikan SOP dipatuhi dengan serius. Kebanyakan kes dalam komuniti kini juga adalah penularan sporadik, malah sekarang adanya varian baharu seperti varian Delta,” katanya.
Pakar ekonomi pula berpandangan kerajaan wajar membuka semula ekonomi seawal bulan hadapan tetapi dengan cara selamat.
Pensyarah ekonomi Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng berkata, bilangan kes Covid-19 tidak seharusnya menjadi ukuran untuk terus menutup ekonomi, sebaliknya perlu mengambil kira tahap vaksinasi di satu-satu kawasan.
“Peningkatan kadar vaksinasi di negara ini sepatutnya dijadikan ukuran kerana ia akan menurunkan bilangan kes Covid-19, kesesakan di hospital tidak lama lagi, sekali gus membolehkan transisi kepada membuka semula aktiviti ekonomi,” katanya.
Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) pula berkata, ekonomi hanya boleh dibuka semula bulan depan jika kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kematian menurun.
“Walaupun unjuran ekonomi akan diturunkan, masih ada ruang ekonomi kembali pulih untuk separuh tahun kedua tahun ini jika sektor ekonomi kembali dibuka,” katanya. – UTUSAN










