Pasangan kembar OKU menagih simpati masyarakat

Pasangan kembar OKU tagih simpati masyarakat

PASANGAN kembar kurang upaya pembelajaran meneruskan kehidupan dalam keadaan serba daif dan mengharap ihsan masyarakat sekeliling di rumah pusaka usang di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pasangan kembar yang juga golongan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran terpaksa menagih simpati masyarakat sekeliling dan mengutip barang terpakai di sekitar Taman Sahabat, Teluk Kumbar, dekat sini untuk meneruskan kehidupan.

Sazali Mohamad Hussain dan adiknya, Suhaimi, 35, yang turut menjadi pembantu di kedai makanan kini tinggal di kediaman pusaka usang bersama seorang bapa saudara yang tidak bekerja.

Tinjauan Mingguan Malaysia di kediaman separa kayu dan batu yang didiami dua beradik yatim piatu itu semalam mendapati keadaan di dalam rumah bagaikan sebuah setor barang terpakai selain berbau busuk dan kotor.

Cerita Sazali, dia bersama kembarnya tinggal di kediaman peninggalan arwah ibu dan bapa mereka itu sejak kecil.

Dia yang kurang fasih bertutur berkata, kehidupan mereka kini hanya bergantung dengan hasil upah sebagai pembantu di gerai makanan berdekatan rumah selain bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Kami perlu bekerja untuk mencari duit bagi membeli makanan untuk kami serta bapa saudara yang menjaga kami sejak kematian ibu dan bapa.

“Habis bekerja, kami berdua akan kutip barang terpakai dekat tong sampah dan kumpul di rumah sebelum dijual kepada peniaga barangan terpakai di jalan besar (jalan utama ke Balik Pulau dan Bayan Lepas),” katanya.

Sementara itu Suhaimi pula berkata, mereka berharap dapat tinggal di rumah lebih selesa dan selamat daripada ancaman binatang berbisa seperti ular.

“Bilik tidur kami pernah dimasuki ular senduk dan mujur abang saya sempat halau dengan kayu,” ujarnya.

Terdahulu, kediaman dua beradik kembar berkenaan turut dikunjungi Setiausaha

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh, Rosmawati Hashim.

Rosmawati memberitahu, pihaknya simpati dengan nasib dua beradik OKU itu yang dilaporkan sering berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berhampiran pada setiap hari selain meminta diberi wang dan makanan daripada penduduk setempat.

“Kita akan berusaha menunaikan impian mereka tinggal di kediaman pusaka itu dengan lebih selesa selain membantu membersihkan kediaman serta memotong pokok besar yang hampir condong ke bahagian bumbung rumah,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN