Program Smart Classroom Kemas diperluas seluruh negara

Program Smart Classroom Kemas diperluas seluruh negara

RUBIAH WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Smart Classroom@Kemas akan diperluaskan secara berfasa ke seluruh negara menjelang 2027 bagi memperkukuh pendidikan digital di Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi melahirkan modal insan fasih digital melalui pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) kurikulum, kokurikulum dan aktiviti luar kurikulum.

“Pada tahun ini, dua Smart Classroom@Kemas dilaksanakan secara rintis di Tabika Kemas Refflesia Presint 5R3 Putrajaya dan Tabika Kemas Muafakat di Johor. 

“Perluasan secara berfasa akan diteruskan mulai tahun hadapan sehingga 2027,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Abdul Halim Haji Suleiman mengenai tahap pelaksanaan pendigitalan bahan pembelajaran di Tabika Kemas.

Menurutnya, pada 2026 setiap negeri akan mempunyai sekurang-kurangnya satu Tabika Smart Classroom dengan sasaran mewujudkan 160 Tabika Smart Classroom di seluruh negara menjelang 2027.

Katanya, tabika Smart Classroom turut dibekalkan dengan akses internet, 10 komputer tablet, papan interaktif, komputer riba mengikut bilangan guru, alat pembelajaran robotik dan bahan digital yang mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI), sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak enam tahun.

Selain itu, Kemas telah membekalkan 500 papan pintar pada 2024 dan 1,100 komputer riba pada tahun ini manakala akses internet kini tersedia di 750 Tabika Kemas di seluruh negara untuk menyokong ekosistem pendidikan digital.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×