Jersi putih bawa tuah di Euro 2020? - Utusan Malaysia

Jersi putih bawa tuah di Euro 2020?

PASUKAN Itali yang memilih jersi warna putih dalam perlawanan awal pagi ini meneruskan kemaraan ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan pasukan nombor satu dunia, Belgium 2-1 di Allianz Arena, Munich. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warna putih terus menjadi tumpuan apabila peminat bola sepak mengaitkan pemakaian jersi warna itu membawa tuah kepada pasukan yang bertanding di Euro 2020.

Di negara ini, warna itu menjadi perhatian ekoran kempen mengibarkan bendera putih untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sehingga mencetuskan pula kempen mengibarkan bendera hitam. 

Sama ada kebetulan atau memang membawa tuah, semua pasukan negara bertanding Kejohanan Euro 2020 yang memakai jersi putih menang di pusingan kedua dan suku akhir setakat ini.

Terbaharu, pasukan Itali  meneruskan kemaraan ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Belgium 2-1 di Allianz Arena, Munich pagi ini.

Skuad Azzurri yang menggunakan biru sebagai warna rasmi memilih memakai warna putih dalam perlawanan itu walaupun lawannya mengenakan warna merah sebagai asas jersi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Azzurri bertemu Sepanyol di Stadium Wembley bagi merebut tiket ke final kejohanan Eropah.

Sepanyol mara ke peringkat itu dengan kemenangan 3-1 menewaskan Switzerland menerusi sepakan penalti penentuan selepas masing-masing terikat 1-1.

Skuad La Roja memilih ‘jersi away’ warna putih dalam perlawanan tersebut.

Terdahulu,  sebuah lagi pasukan yang mengenakan jersi warna putih, Republik Czech melakukan kejutan selepas mara ke peringkat suku akhir Euro 2020 dengan menyingkirkan Belanda 2-0.

Menanti Republik Czech adalah Denmark yang muncul pasukan pertama menempah tiket ke suku akhir Euro 2020 selepas menundukkan Wales 4-0 dalam saingan 16 terbaik.

Denmark  memakai ‘jersi away’ mereka yang berwarna putih dalam perlawanan itu.

Satu lagi perlawanan suku akhir yang bakal berlangsung awal pagi ini adalah England menentang Ukraine. Menariknya, skuad Three Lions turut memakai jersi warna putih dalam saingan 16 terbaik yang menyaksikan pasukan itu menundukkan Jerman 2-0.

Cuma Ukraine bukan pasukan memakai jersi putih dalam pusingan kedua yang layak ke suku akhir dalam kejohanan kali ini. Mereka tampil dengan ‘jersi away’ berwarna biru untuk meraih kemenangan  2-1 ke atas Sweden.

Bagaimanapun, lawannya itu memakai jersi berwarna kuning dalam perlawanan berkenaan.

“Teori jersi putih.  Semua team (pasukan) yang pakai jersi putih dalam pusingan kedua dan suku akhir sehingga hari ini semuanya menang. Fakta ini bukan auta,” kata Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap dalam laman sosial Facebooknya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya