Guna model Jawatankuasa Konsultatif Nasional - Utusan Malaysia

Guna model Jawatankuasa Konsultatif Nasional

AKHBAR SATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah terbaik dalam melaksanakan akta dana politik adalah dengan menggunakan semula cadangan, model-model yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, keputusan yang dibuat oleh JKNMPP dahulu perlu diambil kerana jawatankuasa itu terdiri daripada pakar-pakar yang pelbagai, malah cadangan modelnya juga diambil dari negara luar.

Bagaimanapun, katanya, dengan syarat parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan bersetuju kerana isu dana dalam politik adalah mustahak, malah boleh disifatkan sebagai ibu kepada segala rasuah.

“Dalam jawatankuasa sudah terdapat cadangan dan model yang terbaik, maka ikut sahaja yang itu, tetapi masalahnya apabila kedua-dua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan tidak mahu kerana ia dilihat menyukarkan mereka.

“Semua memberi alasan sukar untuk mendapatkan sokongan dua pertiga dewan, maknanya sekarang ini apakah objektifnya.

“Adakah mereka sememangnya mahukan satu akta supaya penyelewengan daripada dana politik dapat diatasi atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam melaporkan, akta dana politik perlu diwujudkan segera bagi mengawal pembiayaan mana-mana pihak kepada parti politik semasa musim pilihan raya.

Menurut Akhbar, perkara itu juga merupakan satu perkara yang sepatutnya ada dan mendapat sokongan padu oleh kedua-dua pihak sama ada kerajaan serta pembangkang.

Tambah beliau, ketiadaan akta itu juga sememangnya dilihat menyukarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga lemah kerana SPRM tiada kuasa penguatkuasaan, maka itu sebabnya kita perlu mewujudkan satu akta khas dalam dana politik,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya