Enam geng dadah di Pulau Pinang tumpas  - Utusan Malaysia

Enam geng dadah di Pulau Pinang tumpas 

MUSTAFA KAMAL GANI Abdullah menunjukkan dadah yang dirampas daripada satu sindiket di Butterworth, Pulau Pinang hasil serbuan sejak empat hari lalu dalam sidang akhbar di IPD SPT pada 26 Julai 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Enam individu termasuk dua wanita anggota sindiket dadah diberkas dalam empat serbuan  di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT). 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, serbuan selama empat hari yang berakhir semalam turut membawa kepada penemuan  dadah jenis heroin seberat 4,615 gram dan 986 gram syabu masing-masing bernilai RM51,272.65 dan RM35,496. 

Menurut beliau, polis menyita  sebuah motosikal dan tiga buah kereta yang semuanya  bernilai RM162,250 serta wang tunai berjumlah RM1,250 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM249,018.65. 

Kata Mustafa,  serbuan pertama membabitkan sebuah kereta dinaiki dua lelaki di Juru yang membawa kepada penemuan 4,524 gram heroin bernilai RM50,261.64. 

“Serbuan kedua  di sebuah tempat mencuci kereta juga di Juru dan menahan seorang suspek lelaki bersama syabu seberat 228 gram bernilai RM8,208 yang disorokkan di dalam beg. 

“Polis kemudian memeriksa  sebuah pangsapuri di Simpang Ampat sebelum menahan seorang wanita berusia 27 tahun bersama 758 gram syabu bernilai RM27,288,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, di sini hari ini. 

Mustafa memberitahu, serbuan terakhir  pukul 5.30 petang semalam di sebuah pangsapuri di Butterworth membabitkan sepasang suami isteri ditahan bersama 91 gram heroin bernilai RM1,011, peralatan serta bahan-bahan kimia disyaki untuk membuat heroin serta wang tunai berjumlah RM1,250. 

Kata beliau,  saringan air kencing mendapati empat suspek  lelaki positif dadah serta memiliki beberapa rekod  jenayah manakala dua suspek wanita negatif dadah.

“Polis percaya sindiket ini aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Juru, Perai, Seberang Jaya dan Butterworth sejak awal tahun ini,” kata beliau. 

“Siasatan mendapati heroin dibeli dengan harga RM2,700 untuk satu paun (seberat 453.592 gram) dan dijual semula pada harga RM3,400 iaitu dengan mengaut keuntungan sebanyak RM700 bagi setiap satu paun yang dijual,” katanya yang memberitahu, bekalan dadah itu dipercayai diperoleh sekitar Pulau Pinang dan Kedah. 

Menurut beluia, kes membabitkan enam suspek berusia 27 hingga 40 tahun  itu disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN