Video nikah online: Timbalan menteri mohon maaf - Utusan Malaysia

Video nikah online: Timbalan menteri mohon maaf

CHE Abdullah Mat Nawi dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak di Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK:  Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi  meminta maaf berikutan rakaman video pernikahan secara dalam talian yang mengaitkan dirinya yang tular dalam media sosial.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat bagaimana tidak mengesahkan sama ada beliau adalah ahli Parlimen yang berkahwin lagi ketika rakyat sedang bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menimbulkan kecaman ramai.

Beliau sebaliknya meminta masyarakat memberi keadilan dan ruang kepadanya menyelesaikan isu itu dan menghormati privasi keluarganya.

“Sebagaimana yang isu yang tular, saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyinggung mana-mana pihak.

“Saya mohon semua pihak agar memberi keadilan dan ruang untuk saya selesaikan isu ini dengan baik kerana ia sewajarnya ditanggani secara peribadi dan bukan untuk dipertonton  kepada khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Jelapang Padi Seberang Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau amat kesal kerana isu itu dikecam masyarakat kerana ia sangat peribadi bukan hanya melibatkan dirinya tetapi juga seluruh keluarganya.

Katanya, isu itu tidak sepatutnya berlaku  malah seolah-olah berniat atau bermotif mahu mengaibkan atau menjatuhkan maruah sekeluarganya.

“Saya dan peguam sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat mengaibkan saya sehingga yang tular dalam media sosial.

“Saya dapat nasihat daripada peguam dilantik dan akan ambil tindakan terhadap pihak terlibat, jadi saya dinasihatkan untuk tidak mengulas lanjut perkara ini,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial  rakaman video pernikahan melalui telefon dikatakan melibatkan seorang timbalan menteri yang bernikah sekali lagi dengan seorang wanita dengan akad nikah dilakukan secara atas talian oleh jurunikah Thailand.

Berikutan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Thailand dikatakan akan menjalankan siasatan termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang dikatakan menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian melibatkan timbalan seorang menteri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN