KUALA LUMPUR: Pengguna perlu bijak membuat pertimbangan untuk memilih sama ada mahu menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) atau sebaliknya.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan adalah lebih kepada kebijaksanaan pengguna sekiranya berasakan caj yang ditawarkan munasabah atau terlalu mahal.
Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan perkhidmatan sesuatu penghantaran itu bergantung kepada jarak.
“Pada masa yang sama, tidak patut sekiranya ada yang mengambil kesempatan. Bagaimanapun, pengguna perlu bijak.
“Apabila kita memesan dan caj yang dikenakan agak tinggi dan tidak munasabah, maka di situ kita perlu membuat pertimbangan dan menggunakan kebijaksanaan kita sebagai pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mingguan Malaysia melaporkan, ramai pengguna mengeluh melihat harga jualan menerusi p-hailing yang naik sehingga dua kali ganda berbeza dengan nilai ditawarkan di restoran dan gerai.
Menurut Mohd. Yusoff, perkhidmatan p-hailing tidak mempunyai satu badan kawal selia, maka kebiasaannya harga yang ditawarkan adalah berdasarkan kepada persaingan di pasaran.
“Mungkin timbul dari segi caj penghantaran terutama apabila melibatkan jarak yang dekat, tetapi penghantaran dapat dihantar lebih meluas berbanding inisiatif yang dilakuan sendiri oleh gerai atau penjaja kecil,” katanya.
Tambah beliau, walaupun tidak mempunyai kawal selia, bahagian perkhidmatan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemerhatian sekiranya timbul aduan atau isu terhadap perkhidmatan berkenaan.
“Sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, ia perlu dilihat dari segi sama ada pengguna berpuas hati atau sebaliknya.
“Jika hanya kes terpencil atau tertentu, kemungkinan agak sukar (diambil pemerhatian),” katanya. – UTUSAN ONLINE











