3 minggu, 159 kompaun bernilai RM1.49 juta  - Utusan Malaysia

3 minggu, 159 kompaun bernilai RM1.49 juta 

AWANG Hashim (kanan) ketika menyertai operasi pemantauan pematuhan Akta 342 dan Akta 514 dalam sektor pembuatan di kawasan perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang. - MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan 159 kompaun berjumlah RM1.49 juta kepada majikan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  keselamatan dan kesihatan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0  16 Jun  sehingga semalam. 

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan. 

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu sebanyak 1,585 premis pekerjaan di seluruh negara diperiksa dengan 129 daripadanya dilakukan di Pulau Pinang membabitkan empat kompaun bernilai RM40,000. 

“Antara pendekatan yang diambil dalam menguatkuasakan Akta 342 ialah menerusi siasatan aduan diterima daripada aplikasi ‘Working for Workers’ (WFW), aduan diterima oleh JKKP dan menerusi operasi terancang terutama dalam sektor perkilangan,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menyertai operasi pemantauan pematuhan Akta 342 dan Akta 514 dalam sektor pembuatan di kawasan perindustrian Bayan Lepas di sini hari ini. 

Awang memberitahu, daripada jumlah kompaun menerusi operasi itu, majikan di sektor perkilangan paling tinggi didapati gagal memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja iaitu membabitkan sebanyak 123 kes. 

Jelasnya, ia diikuti oleh sektor pembinaan (18); perkhidmatan perniagaan (4); masing-masing tiga kes di sektor penyimpanan, pengangkutan dan perdagangan borong serta satu kes melibatkan kewangan, pengkuarian, pertanian, perkhidmatan  kebersihan dan kemudahan gas. 

Tambah beliau, kesalahan paling tinggi yang dikenakan kompaun pula adalah majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dalam sektor perkhidmatan perlu seperti dalam kebenaran surat yang dikeluarkan pihak berkuasa berkenaan iaitu sebanyak 96 kes. 

“Sehubungan itu, kita ingin menegaskan supaya semua pihak tidak kira majikan, pekerja mahupun orang awam untuk kekal patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKP terkini  yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

“Majikan juga disarankan untuk melaksanakan pendekatan  bekerja dari rumah mengikut ketetapan kerajaan sepanjang  tempoh PKP berkuat kuasa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya