149,791 peserta sertai Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran  - Utusan Malaysia

149,791 peserta sertai Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran 

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 149,791 peserta mendapat manfaat daripada pelbagai program kemahiran dan peningkatan kemahiran ditawarkan kerajaan setakat 2 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak 18 program disediakan kerajaan yang ditawarkan tiga, kementerian, dua agensi kerajaan dan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, senarai kursus-kursus yang ditawarkan boleh dilihat melalui pautan di laman sesawang Kementerian Kewangan.

“Selain itu, pemohon juga boleh layari laman web agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan.

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, anda semua dijemput menyertai kursus-kursus ini,” katanya menerusi laporan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-61, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) di bawah PRIHATIN dan PENJANA.

“Setakat 2 Julai lalu, permohonan subsidi upah yang diluluskan telahpun mencapai nilai RM12.907 bilion,” katanya.

Bagi PSU 2.0 pula, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM1.309 bilion telah disalurkan kepada 76,083 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 669,289 pekerja setakat 2 Julai lalu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM76.62 juta sudah disalurkan kerajaan kepada 13,873 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 2 Julai lalu.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah menyalurkan RM862.35 juta bagi tuntutan elaun khas barisan hadapan setakat 2 Julai lalu.

Menurutnya, tuntutan elaun khas barisan yang diterima daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19.

“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Rela yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN