Warga TNB kumpul RM1.28 juta bantu rakyat terjejas Covid-19 - Utusan Malaysia

Warga TNB kumpul RM1.28 juta bantu rakyat terjejas Covid-19

IR. BAHARIN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumpulkan hampir RM1.28 juta menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) demi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, khususnya golongan B40 di seluruh semenanjung.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih 11,000 warga kerja TNB bersetuju membuat sumbangan melalui potongan gaji kepada tabung berkenaan sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh terdekat ini.

Ujarnya, pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan/ Yang Dipertua Persatuan dalaman TNB sepakat menubuhkan tabung berkenaan bagi membolehkan warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih seminggu kempen tabung ini bermula, warga kerja TNB telah menghulurkan  sumbangan melalui penolakan gaji bulanan pada Jun dan Julai.

“Saya yakin jumlah kutipan akan terus meningkat sehingga kempen menderma ini tamat pada 15 Julai nanti,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Baharin memaklumkan, bagi setiap ringgit yang didermakan warga kerja TNB kepada tabung berkenaan, syarikat utiliti itu akan menambah jumlah yang sama supaya lebih ramai orang mendapat manfaat.

“Saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat bandar yang mencabar, dan amat memahami kesusahan masyarakat yang  terjejas pendapatan dan mungkin juga kehilangan pekerjaan disebabkan kegawatan ekonomi ketika ini. Kesedaran ini juga  saya percaya dikongsi rakan-rakan saya yang lain di TNB,” jelasnya.

Pengagihan Tabung WTP itu akan diberikan dalam bentuk wang tunai secara dalam talian (online banking) dan fizikal  kepada penerima individu yang dikenal pasti, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan  Negara (MKN).

Penerima dikenal pasti berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan orang kelainan upaya, e-Kasih, JKM dan PPRT (di  bawah Kementerian Pembangunan Wanita & Masyarakat), Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

Selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini TNB telah menghulurkan pelbagai bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40  dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN