BATU PAHAT: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menjelaskan, video tular yang memaparkan beliau dan sekumpulan individu menikmati buah durian adalah ketika dia hadir mendengar permasalahan yang dialami pekebun raja buah itu.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, beliau memohon maaf atas kekeliruan yang timbul apabila pada awalnya terdapat media yang menghubunginya dan memberikan jawapan tanpa menonton sendiri video terbabit.
“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisis video yang terkait pada saya.
“Setelah meneliti salah satu video yang tular semalam, ia adalah lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Untuk makluman, sememangnya sejak PKP yang pertama sehingga kini, saya sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.
Semalam, video berdurasi 13 saat yang memaparkan Mohd. Rashid sedang menikmati buah durian di sebuah kebun tular dan menimbulkan kemarahan ramai berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk tiada penjarakan sosial dan berkumpul dalam jumlah yang ramai.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 berikutan terdapat laporan mengenai kejadian itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Rashid berkata, kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin ke daerah itu dan menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang.
“Selepas rombongan menteri pulang, saya dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.
“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami. Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan.
“Selepas perbincangan tamat, saya terus meninggalkan program awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf atas kekhilafan itu dan menyerahkan siasatan lanjut serta berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN ONLINE