JOHOR BAHRU: Hasrat kerajaan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) di negara ini dilihat tepat pada masanya kerana golongan berkenaan semakin melampau dan berani.
Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, golongan itu kini sudah tidak malu mempromosikan aktiviti mereka secara terbuka khususnya menerusi media sosial.
Menurut beliau, langkah proaktif perlu diambil bagi membanteras kegiatan LGBT yang mencemari norma kebiasaan rakyat Malaysia.
“Kebejatan sosial dalam masyarakat kita bukan perkara baharu dan dilihat semakin parah, tindakan tegas mesti diambil untuk menyekat ianya daripada menjadi penyakit yang lebih serius.
“Seharusnya ia dirawat daripada akar umbi di mana kejahilan terhadap agama dan sikap tidak peka masyarakat yang bersikap tidak kisah kononnya tidak mahu menjaga tepi kain orang lain.
“Tindakan itu menyebabkan gejala sosial yang asalnya luar biasa akhirnya menjadi perkara biasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Khamis lalu kerajaan memaklumkan akan melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu terhadap individu yang menghina agama secara umum serta mempromosi gaya hidup LGBT.
Rusman berkata, ancaman gejala sosial yang melibatkan penghinaan terhadap agama yang bercanggah dengan fitrah manusia perlu ditangani sebelum menjadi barah dalam masyarakat. – UTUSAN ONLINE